Meskipun dipaksa bermain 10 orang pemain selepas Khuzaime diperintah keluar padang akibat kad kuning kedua namun itu bukan penghalang untuk UiTM FC melakar kemenangan tipis 2-1 keatas Terengganu di gelanggang sendiri.
Seawal minit ke-4, UiTM sudah berada di hadapan menerusi hantaran Hartmann yang dikuis oleh penjaga gol pelawat namun muntah di hadapan gawang yang cuba dikeluarkan oleh Hafizal tetapi terkena kaki pemain UiTM, Arif Anwar.
Terengganu yang ketinggalan cuba bangkit menerusi percubaan Sanjar Shaakhmedov yang mengenai tiang tatkala penjaga gol UiTM, Azfar sudah tertewas dan susulan dari Syafik Ismail hanya sedikit melewati palang.
Sekali lagi peluang terbaik Terengganu hadir menerusi hantaran lintang Syafik Ismail yang ditepis Azfar dan susulan Lee Tuck sekali lagi dinafikan oleh penjaga gol tuan rumah.
Selepas mencuba akhirnya Terengganu berjaya jua memperolehi sepakan penalti selepas Sanjar Shaakhmedov dikasari oleh pertahanan lawan dengan Lee Tuck mengambil sepakan tersebut mudah untuk gol penyamaan.
UiTM sekali lagi berada di hadapan sebaik beberapa minit bersambung babak kedua menerusi ketua pasukan mereka, Victor Nirennold yang memanfaatkan hantaran Hartmann untuk melepasi kawalan pertahanan Terengganu sebelum melepaskan rembatan kencang menerjah gawang.
6 minit kemudian, Terengganu berpeluang menyamakan kedudukan selepas Dominique hanya berdepan 1 sama 1 dengan penjaga gol namun sepakannya mudah ditepis oleh Azfar.
20 minit sebelum perlawanan sebenar berakhir, UiTM dipaksa bermain 10 orang pemain selepas pertahanan mereka, Khuzaime menerima kad kuning kedua akibat kekasaran terhadap Dominique.
Namun peluang itu gagal dimanfaatkan oleh Terengganu yang berkelebihan seorang pemain untuk mencari gol penyamaan dengan tuan rumah kekal bertahan selain penjaga gol mereka beberapa kali bertindak cemerlang menafikan percubaan berbahaya lawan sehingga minit akhir perlawanan.
Sumber gambar : @officialterengganufc
Ulasan
Catat Ulasan