PELUANG MAKIN SUKAR

Terengganu tumpas mengejut kepada Melaka United di halaman lawan dengan Uche Agba muncul wira tuan rumah apabila meledak gol tunggal perlawanan di babak kedua sekaligus merencatkan peluang Terengganu untuk bersaing bersama pendahulu liga kini terpisah 6 mata dan Melaka United pula berjaya mendaki tangga ke tiga kedudukan liga.

Di babak pertama permainan berhati-hati ditampilkan oleh kedua-dua pasukan dengan hanya satu percubaan tepat ke arah gawang lawan. Tuan rumah terlebih dahulu menguji gawang Terengganu menerusi rembatan Uche Agba terus ke dakapan Shamirza Yusof. Selang beberapa minit kemudian, percubaan berbahaya Lee Tuck ditepis keluar oleh Khairul Fahmi selepas melakukan larian dari kawasan tengah padang. 

Percubaan terbaik Melaka United hadir pada minit ke 28 namun rembatan Faris Daniel sedikit tersasar ke kiri gawang. Sekali lagi tuan rumah hadir mencemaskan gawang Terengganu selepas clearance tidak kemas yang dilakukan oleh pemain Terengganu diambil kesempatan oleh Khairul Anuar untuk melakukan percubaan dari luar kotak namun tinggi melepasi palang.Terengganu yang tercari-cari peluang membelah pertahanan lawan hadir melalui penyerang sensasi mereka, Dominique Da Slyva namun beliau sedikit tergelincir dalam kotak penalti selepas menerima hantaran tapi sempat melakukan percubaan lemah yang dihalang oleh pertahanan.

Bersambung di babak kedua, Melaka United lebih banyak mendominasi perlawanan dengan percubaan dari Uche Agba yang memanfaatkan kegagalan pertahanan Terengganu melakukan clearance kemas ditepis oleh Shamirza Yusof. Beberapa minit kemudian, sekali lagi penjaga gol pelawat tersebut bertindak cemerlang menepis rembatan Jang Sukwon dan susulan pantas Uche Agba tinggi ke udara.

Selepas mencuba beberapa kali akhirnya tuan rumah berjaya jua memecah kebuntuan pada minit ke 60 yang berpunca dari pertahanan pelawat, Argzim Redzovic terjatuh akibat pertembungan bersama Sony Norde kemudiannya melorongnya kepada Uche Agba yang tidak dikawal mudah untuk menewaskan Shamirza Yusof. Terengganu yang ketinggalan cuba bangkit menerusi Faiz Nasir namun rembatannya ditampan oleh Khairul Fahmi.

Sekali lagi Terengganu hampir menyamakan kedudukan tetapi tandukan Muhammad hanya ke sisi gawang susulan dari hantaran ketua pasukan, Lee Tuck. Ketika pelawat leka mencari gol penyamaan tuan rumah melakukan gerakan mencemaskan menerusi hantaran Sony Norde yang sempat dikuis keluar oleh Shamirza Yusof sebelum sampai ke pemain Melaka United berada dibelakangnya. Walaupun Terengganu terus menekan tuan rumah namun Melaka United tetap utuh bertahan sehingga wisel penamat untuk menyaksikan 3 mata penuh milik mereka.

Kredit : @malaysianfootballleague, @officialterengganufc

Ulasan