Hanya gol tunggal dari Safawi Rasid pada seawal permainan hasil kesilapan pertahanan lawan memisahkan kedua-dua pasukan yang menyaksikan Terengganu terpaksa menelan hakikat pahit kekalahan kedua mereka di gelanggang sendiri seterusnya meranapkan peluang mereka untuk mendekatkan jurang.
Sebaik sahaja wisel bermula ditiupkan, pelawat terus mendominasi perlawanan dengan menekan barisan pertahanan Terengganu hingga melakukan kesilapan mudah yang salah satunya berpunca dari tolakan belakang Argzim Redzovic gagal dibaca kemas oleh penjaga golnya sendiri sebelum dipintas oleh Safawi Rasid untuk meletakkan JDT berada di hadapan.
Pemain kebangsaan itu lagi sekali hampir menggandakan jaringan namun sempat dihalang oleh Hafizal untuk memberikan sepakan penjuru. Terengganu seolah gagal mengimbangi tempo perlawanan apabila kubu mereka terus diasak oleh lawan dengan hanya dua percubaan tuan rumah sahaja hadir melalui Lee Tuck namun percubaannya tersasar jauh serta tandukan dari Argzim Redzovic yang berpunca dari sepakan percuma sedikit tinggi melepasi palang.
JDT sekali lagi berpeluang menambah gol di penghujung babak pertama tetapi sepakan percuma dari Diogo sempat ditepis oleh Shamirza Yusof untuk menyaksikan hanya satu gol sahaja tercipta di babak pertama.
Terengganu yang cuba bangkit di babak kedua apabila dilihat merencana beberapa gerakan ke kubu lawan terus buntu untuk menemui gol penyamaan apabila target man mereka, Dominique Da Slyva terus dikawal rapi oleh barisan pertahanan lawan.
Peluang terbaik Terengganu untuk menyamakan kedudukan hanya hadir di masa kecederaan perlawanan apabila percubaan kencang Sanjar Shaakhmedov dari luar kotak penalti mengenai pertahanan lawan tatkala Farizal Marlias sudah pun tertewas.
Dengan kekalahan ini, Terengganu tergelincir dua anak tangga ke kedudukan keempat sementara JDT terus kukuh di puncak liga dengan berkelebihan 8 mata dari pasukan terdekat, Perak yang berjaya menundukkan UiTM FC.
Ulasan
Catat Ulasan