Dua jaringan dari penyerang utama, Dominique Da Slyva di setiap babak sudah cukup untuk memastikan Terengganu mengutip 3 mata penuh di gelanggang lawan sekaligus Terengganu berjaya memperbaiki kedudukan liga ke tangga ketiga Liga Super dibezakan 3 mata dengan pendahulu, JDT.
Dipermulaan perlawanan PJ City memperlihatkan lebih banyak mengasak ke kubu lawan terutama peluang terbaik mereka yang hadir pada minit ke-7 selepas Washington Brandao yang merampas bola dari kaki Lee Tuck seterusnya melakukan larian ke kotak penalti sebelum melepaskan rembatan yang diselamatkan oleh Shamirza Yusof di gawang Terengganu.
Ketika PJ City sedang leka mengasak, Terengganu memanfaatkan kesilapan hantaran ke belakang Mahali Jasuli dengan larian solo dari tengah Dominique Da Slyva melepasi dua pemain lawan sebelum mudah menewaskan Syihan Hazmi untuk gol pendahuluan pelawat.
Bersambung babak kedua, Terengganu lebih garang memburu gol tambahan dengan beberapa siri percubaan ke arah gol lawan dan serangan balas pada minit ke-72 akhirnya membuahkan hasil apabila hantaran dari tengah Faiz Nasir terus menemui Dominique Da Slyva yang melakukan larian laju sebelum melakukan satu sungkitan melepasi Syihan Hazmi sekali lagi yang keluar jauh dari gawangnya.
PJ City yang ketinggalan dua gol terus cuba bangkit melakukan serangan namun barisan pertahanan pelawat terus kekal bertahan sehingga tamat perlawanan untuk memastikan tiga mata penuh milik mereka.
GAMBAR : @malaysianfootballleague
Ulasan
Catat Ulasan