Terengganu terus mempamerkan aksi bertenaga di halaman sendiri apabila membenam mangsa seterusnya, Sabah dengan dua gol di setiap babak untuk naik ke tangga kedua mengekori rapat pendahulu liga, JDT yang hanya dipisahkan 3 mata sahaja.
Terengganu tidak perlu menunggu lama untuk berada di hadapan apabila penyerang sensasi mereka, Dominique Da Slyva menghukum kesilapan penjaga gol pelawat, Wan Azraie yang gagal menangkap kemas hantaran lintang untuk meletakkan tuan rumah di hadapan selepas memanfaatkan bola muntah hasil percubaan terdahulu Faiz Nasir yang ditampan pertahanan pelawat.
Sabah yang ketinggalan cuba bangkit untuk mencari gol penyamaan namun serangan mereka belum cukup untuk mengugat Shamirza Yusof di gawang Terengganu. Malah Dominique hampir menambah gol kedua peribadinya menerusi larian solo selepas menerima hantaran Sanjar Shaakhmedov namun rembatannya ditepis oleh Wan Azraie.
Terengganu terus menggandakan gol kedua sebelum 4 minit berakhir babak pertama menerusi jaringan Sanjar Shaakhmedov yang menerima hantaran lintang Lee Tuck untuk tuan rumah selesa masuk ke bilik persalinan.
Sebaik bersambung babak kedua, Sabah dilihat lebih mengancam ke kubu Terengganu untuk memburu gol kebangkitan dengan beberapa peluang hadir terutama menerusi sepakan percuma Petrus Shitembi yang ditepis oleh Shamirza Yusof.
Sanjar Shaakhmedov terus menambah derita pelawat apabila meledak gol kedua peribadinya sekali lagi hasil bola muntah percubaan Faiz Nasir yang ditepis Wan Azraie sebelum itu. Sabah yang ketinggalan terus cuba mencari memecah kebuntuan dengan rembatan penyerang mereka, Guy-Kassa Gnabouyou hanya tersasar ke tepi gawang.
Ketika Sabah leka mengasak mereka dikejutkan dengan satu serangan balas pantas tuan rumah berpunca dari kesilapan hantaran ke belakang pemain Sabah sendiri yang terus dibawa lari oleh Dominique sebelum melorong kepada Lee Tuck namun bertembung bersama Wan Azraie tetapi Faris Ramli yang berada di hujung tidak melepaskan peluang yang sudah terbuka untuk mencetak gol keempat Terengganu di penghujung perlawanan yang kekal sehingga ke wisel penamat ditiupkan.
Ulasan
Catat Ulasan