MIMPI NGERI TERENGGANU DI GONG BADAK

Setelah hampir 4 tahun Terengganu berpindah gelanggang rasmi, mereka kembali semula ke Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin menentang Perak malam tadi yang dihadiri hampir 25 ribu penyokong. Namun kepulangan itu diiringi episod duka apabila Terengganu tumpas 3-1.


Sebaik sahaja wisel ditiupkan kedua-dua pasukan saling mengasak ke kubu lawan mencari gol pendahuluan dan tuan rumah hampir memperolehi pada minit ke 4 menerusi tandukan Babacar Diallo hasil sepakan penjuru dari Lee Tuck namun sedikit tersasar.

Pelawat juga hampir mengejutkan tuan rumah pada minit ke 11 apabila sepakan percuma Thierry ChanthaBin terkena tiang dan susulan kemudian tinggi melepasi palang. Terengganu sekali lagi mencemaskan kubu lawan apabila rembatan kencang Nasir Basharuddin ditepis oleh Nasrullah. Kemudiannya sepakan penjuru diambil oleh Lee Tuck menemui Sanjar Shaakhmedov yang tidak melepaskan peluang untuk melepaskan satu rembatan cantik terus mengegar pintu gol pelawat pada minit ke 18.

Walaupun mendahului Terengganu terus melakukan ancaman ke kubu Perak apabila pemainan sentuhan satu dua Faris Ramli bersama Dominique sebelum Dominique melepaskan rembatan yang ditepis oleh Nasrullah sekali lagi.  Perak yang ketinggalan hampir menyamakan kedudukan menerusi Leandro namun sepakan percumanya sedikit tersasar. Sekali lagi Perak hadir membahayakan pintu gol Terengganu namun Rahadiazli bertindak cemerlang menafikan rembatan De Paula. 


Akhirnya setelah beberapa kali mencuba Perak berjaya jua memperolehi gol penyamaan beberapa minit sebelum tamat babak pertama apabila dianugerahkan sepakan penalti akibat kekasaran Arif Fadzilah ke atas De Paula di dalam kotak penalti. De Paula yang mengambil sepakan tersebut tenang untuk menyempurnakannya. 

Kebangkitan Perak di babak kedua bagaikan mimpi ngeri buat Terengganu apabila mereka berjaya memperolehi gol pendahuluan selepas 7 minit bersambung menerusi tandukan Shahrul Saad hasil sepakan penjuru Thierry ChanthaBin untuk menewaskan Rahadiazli. Pertukaran pemain oleh Nafuzi memasukkan Saavindran untuk menggantikan Faiz Nasir nampak sedikit memberi nafas kepada jentera serangan apabila hantaran lintang beliau kepada Sanjar Shaakhmedov sebelum rembatan Sanjar sedikit tersasar.

Ketika Terengganu leka menyerang memburu gol penyamaan mereka walaupun kekurangan satu pemain akibat kecederaan Ariff Fazilah di tepi padang terus dihukum menerusi satu serangan balas pantas selepas Firdaus Saiyadi berjaya memotong hantaran Nasir Basaruddin kepada De Paula yang tidak melepaskan peluang sekali gus membunuh semangat pemain Terengganu.

Ulasan