Drama saling berbalas gol disajikan kepada penonton di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin diantara perlawanan Terengganu menentang Selangor malam tadi dengan ketua pasukan Terengganu, Lee Tuck muncul penyelamat tuan rumah di penghujung permainan.
Di babak pertama, Terengganu lebih banyak mengasak ke kubu lawan menerusi dua peluang terbaik dari penyerang berbisa mereka, Dominique Da Slyva namun hanya ke sisi gawang. Selangor yang sesekali melakukan serangan hampir mengejutkan tuan rumah tapi percubaan Syahmi Safari menuju ke sisi jaring gawang.
Dominique sekali lagi berpeluang mencatat nama tapi penyudah terakhir sedikit mengecewakan. Akhirnya Selangor terlebih dahulu memecah kebuntuan pada minit ke-39 menerusi tandukan Ifedayo Olesegun yang terdahulu berpeluang dari sepakan percuma Sandro Da Silva tapi dinafikan oleh Ilham Amirullah.
Terengganu yang tersentak dengan gol pelawat melakukan pertukaran drastik memasukkan Rahmat Makasuf untuk menggantikan Faiz Nasir yang kurang berfungsi. Ternyata percaturan Nafuzi berhasil apabila pemain tersebut meledak gol penyamaan selang tiga minit kemudian hasil gerakan bermula darinya yang dilorongkan cantik Faris Ramli sebelum disudahkan dengan sedikit sentuhan untuk menewaskan Khairul Azhan.
Gol tersebut sedikit kontroversi apabila mendapat bantahan pemain Selangor menyatakan Sanjar Shaakhmedov terlebih dahulu berada dalam keadaan offsaid.
7 minit bersambung babak kedua, Selangor sekali lagi berada di hadapan menerusi sentuhan menarik Khyril Muhymeen yang mendapat hantaran rendah Shazwan Zainon berpunca sepakan penjuru. Terengganu yang ketinggalan terus menggandakan asakan hasilnya gol penyamaan yang dicari muncul jua pada minit ke-63 menerusi rembatan kencang Sanjar Shaakhmedov yang menerima lorongan dari Dominique Da Slyva.
Gol tersebut tidak bertahan lama apabila Brendan Gan menghukum kesilapan penjaga gol Terengganu, Ilham Amirullah untuk memberikan pelawat mendahului buat kali ketiga dalam perlawanan. Terengganu terus dirundum malang apabila terpaksa bermain 10 pemain selepas pemain tengah mereka, Azalinullah diperintah keluar padang akibat kad kuning kedua.
Ketika perlawanan memasuki masa kecederaan, Terengganu berjaya memperolehi sepakan penalti akibat kekasaran Halim Saari keatas Faris Ramli dalam kotak penalti. Lee Tuck yang mengambil sepakan tersebut tenang menyempurnakannya untuk sekurang-kurangnya berkongsi satu mata.
Ulasan
Catat Ulasan