Penyerang kelahiran anak jati Bukit Payong, Ashari Samsudin atau lebih dikenali gelaran The Silent Killer kerana perwatakannya seorang pemalu namun cukup berbisa di atas padang telah memutuskan untuk bersara dari arena bolasepak professional diusia 34 tahun.
Walaupun ditawarkan kontrak oleh majikannya, Terengganu FC namun mereka terpaksa akur dengan keputusan bekas pemain kebangsaan itu malah tidak dihalang oleh jurulatih, Nafuzi Zain.
Karier Ashari bermula dari skuad Piala Presiden Terengganu 2005/2006 sebelum dinaikkan ke skuad Terengganu selepas itu. Pada tahun 2009 nama beliau berada dalam senarai kedua penjaring terbanyak liga dengan 17 gol.
Tahun 2010-2011 merupakan tahun kemuncak karier Ashari apabila memenangi anugerah penjaring terbanyak liga pada tahun 2010 selain membantu Terengganu ke final Piala FA seterus bergelar juara tahun berikutnya.
Namun nasib tidak menyebelahi pasukannya dalam saingan Piala Malaysia apabila tumpas 2-1 kepada Negeri Sembilan meskipun beliau meledak jaringan pendahuluan pada perlawanan final tersebut.
Selepas berbakti sekian lama bersama Terengganu, beliau mengubah angin ke pasukan jiran iaitu Pahang pada tahun 2017 sebelum kembali ke negeri kelahirannya selepas hanya semusim sahaja. Walaupun semusim Ashari mencapai kejayaan sebagai naib juara Piala FA bersama Tok Gajah.
Aura The Silent Killer sememangnya tidak dinafikan dalam kelas tersendiri apabila selepas kemasukannya Terengganu sekali lagi kembali ke pentas final Piala Malaysia tahun 2018 namun tumpas dalam penentuan penalti.
Kini nama Ashari Samsudin hanya tinggal kenangan dan kekal tersemat dalam antara pemain terbaik Terengganu sepanjang zaman. SELAMAT BERSARA THE SILENT KILLER !!
Ulasan
Catat Ulasan