SSINS HAMPIR PENUH DENGAN PENYOKONG !!


Walaupun hanya sekadar aksi persahabatan namun sambutan dari penyokong Terengganu semalam amat luar biasa hingga hampir memenuhi setiap ruang penjuru stadium. Di kaunter tiket, ratusan penyokong mulai bersesak sebaik sahaja selepas isyak untuk mendapatkan tiket bagaikan perlawanan separuh akhir.

Pada perlawanan semalam pengendali Terengganu, Nafuzi Zain terlebih dahulu menurunkan hampir kesemua pemain simpanan kecuali dua tonggak import selain penjaga gol muda yang baru dinaikkan pangkat dari Terengganu IV. Setelah beraksi hampir 20 minit tuan rumah terlebih dahulu memecahkan kebuntuan menerusi pemain pertahanan, Ariff Fazilah yang melakukan percubaan dari luar kotak penalti hasil sepakan percuma pantas Shukur Jusoh yang menewaskan Shahrizan Ismail di gawang lawan. 


Di babak kedua, beberapa pertukaran dibuat oleh Terengganu selain kemasukan import tambatan mereka, Sanjar Shaakhmedov. Hasilnya satu lambungan menarik darinya berjaya mencari Dominique Da Silva yang tidak melepaskan peluang untuk menggandakan kedudukan tuan rumah. Gol saguhati pasukan lawan pula dijaringkan oleh Gassama Alfussainey pada penghujung perlawanan yang memanfaatkan kesilapan pertahanan Terengganu.


Kredit gambar : Tarmizi Mohd


Ulasan