Sharin Sapien idam sarung Jersi Malaysia

Pemain tengah Terengganu FC (TFC), Sharin Sapien, berhasrat untuk  memikat hati ketua jurulatih skuad kebangsaan, Tan Cheng Hoe, menjelang pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia Qatar 2022 bulan depan.

Sebelum ini, pemain itu tidak banyak diturunkan oleh bekas ketua jurulatih TFC, Irfan Bakti Abu Salim. 

Bagaimanapun, selepas Nafuzi Zain mengambil alih Mei lalu, potensinya sudah mula kelihatan.

Ketika ini, dia menjadi pilihan utama skuad Peteh itu dan berhasrat untuk mencapai impiannya menyarung jersi kebangsaan.

"Masa itu, mungkin jurulatih Irfan mempunyai perancangannya, cuma saya sentiasa bersedia untuk diturunkan dalam kesebelasan utama.

"Dia (Nafuzi) banyak berikan motivasi dan nasihat untuk menyahut cabarannya.

"Apabila dia beri main, saya perlu tunjuk yang saya boleh bersaing dengan pemain-pemain lain," katanya.

Sharin, 25, mengakui cabaran yang amat besar untuk mencabar slot posisi tengah dalam skuad kebangsaan.

Namun, dia meletakkan penanda aras yang tinggi untuk dirinya, iaitu membantu TFC ke final Piala Malaysia untuk membuka mata pengendali kebangsaan itu.

Tahun lalu, dia menjadi tonggak utama TFC II ketika menjulang Piala Cabaran.

"Tugas saya sebagai pemain tengah amat ringkas.

"Saya tidak perlu memegang bola terlalu lama.

"Seperti Sanjar (Shaakhmedov), saya hanya perlu segera melakukan hantaran," tambahnya. - Astro Arena

Ulasan