Dua gol di setiap babak dari Syamim Yahya dan Mohamadou Sumareh menyaksikan Terengganu dan Pahang sekadar berkongsi satu mata pada pertembungan dua pasukan Pantai Timur dalam saingan Liga Super di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah malam tadi.
Pada permulaan dilihat Pahang mendominasi perlawanan dengan beberapa gerakan menguji gawang Terengganu dengan rembatan Lazarus Kaimbi sedikit tersasar. Tuan rumah, Terengganu hampir berada di hadapan pada minit ke-17 menerusi lambungan Kipre Tchetche melepasi Remezey Che Ros yang keluar meninggalkan gawang namun Muslim Ahmad sempat menghalang ketika gawang Pahang sudah terbuka luas.
Zuhair Aizat sedikit mencemaskan gawang Terengganu dengan rembatannya berjaya ditepis oleh Ilham Amirullah. Perancangan Terengganu sedikit terganggu selepas Wan Amirzafran terpaksa diusung keluar akibat kecederaan serius di bahagian kaki dan ditempatnya diganti oleh Muhammad.
Peluang terbaik Pahang hadir pada minit ke-41 menerusi larian Mohamadou Sumareh yang melepasi barisan pertahanan Terengganu tapi dikecewakan oleh Ilham yang menepis rembatannya sebaliknya serangan balas Terengganu yang membuahkan hasil dengan Syamim Yahya menceriakan penyokong tuan rumah selepas rembatannya ke sudut kanan mengegarkan jaring lawan tanpa mampu diselamatkan oleh Remezey.
Pahang tidak menunggu lama untuk menyamakan kedudukan selepas 5 minit bersambung babak kedua hasil dari hantaran lambung Azam Aziz menjumpai Sumareh yang tidak mensia-siakan dengan rembatan kencang menewaskan Ilham. Tersentak dengan jaringan tersebut Terengganu kembali mengatur gerakan serangan ke kubu Pahang.
Kekebalan barisan pertahanan Pahang yang diketuai oleh Herold Goulon sedikit menyukarkan barisan penyerang Terengganu disamping ketumpulan penyudah mengagalkan Terengganu menambah gol. Pahang yang memiliki kelebihan pada situasi bola mati sering kali membuatkan barisan pertahanan Terengganu tidak duduk diam namun tandukan Herold Goulon pada minit ke-74 sekadar tinggi melewati palang gol.
Meskipun kedua-dua pasukan saling berbalas gerakan namun tiada tambahan gol selepas itu sehingga wisel penamat ditiupkan oleh Amirul Izwan yang menyaksikan kedua-dua pasukan sekadar berkongsi satu mata.
Ulasan
Catat Ulasan