Nama Irfan Bakti bukan satu nama yang asing buat bolasepak Terengganu apabila menjadi individu penting akan kegemilangan Juara Piala FA, Naib Juara Piala Malaysia dan Naib Juara Liga Super dalam masa satu musim pada tahun 2011 sehingga melayakkan Terengganu beraksi buat pertama kali di pentas AFC pada tahun berikutnya. Namun jodoh Irfan bersama Terengganu tidak lama apabila beliau tidak menyambung kontrak yang tamat penghujung tahun 2011 untuk mengubah angin bersama pasukan baru.
Selepas 4 tahun bersama pasukan lain iaitu Selangor dan Felda United, Irfan dilamar oleh pengurusan Terengganu untuk membimbing pasukan ini buat kali kedua dan lamaran itu disetujui oleh tuan badan sendiri penghujung tahun 2016 dengan harapan mampu membawa kembali Terengganu ke pentas Liga Super selepas terjerumus ke Liga Perdana. Apa yang diharapkan kepada Irfan jelas dilaksanakan dengan sempurna apabila beliau hanya memerlukan satu musim sahaja untuk merealisasikan harapan itu malah Terengganu menjadi Naib Juara Liga Perdana 2017 dibelakang Kuala Lumpur.
Tahun berikutnya, aura beliau sekali lagi membawa Terengganu ke pentas akhir Piala Malaysia dengan menyingkirkan pasukan terkuat di Malaysia, JDT pada peringkat separuh akhir di halaman lawan lantas mengejutkan ramai pihak pemerhati bolasepak tempatan. Tapi di pentas akhir nasib bukan menyebelahi Terengganu apabila tumpas pada penentuan sepakan penalti kepada Perak ketika terikat 3-3 dalam masa sebenar perlawanan.
Kekalahan mengejut tersebut lantas tidak disenangi oleh rata-rata penyokong Terengganu apabila segera melakukan protes di perkarangan stadium sejurus tamat perlawanan menyatakan luahan terbuku di dalam hati masing-masing. PBSNT yang mengambil serius akan situasi ini bertindak melakukan mesyuarat tergempar pada keesokan harinya (Semalam) dan dengan rasa penuh tanggungjawab akan kekalahan tersebut dan masalah ini, Irfan nekad untuk meletakkan jawatannya sebagai jurulatih Terengganu serta-merta dan tugasnya bakal akan diambil alih oleh pembantunya, Nafuzi Zain.
Ulasan
Catat Ulasan