KIPRE 'TAMATKAN' KEMARAU DI KOTA BHARU

Tiga jaringan di babak kedua dari Sanjar Shaakhmedov, Kipre Tchetche dan Lee Tuck membantu Terengganu FC bangkit dari ketinggalan untuk meneruskan langkah ke peringkat seterusnya dalam saingan Piala FA.


Terlebih dahulu Kelantan United berjaya mengejutkan lawan pada minit ke-9 apabila Rozaimi Azwar memanfaatkan kesilapan hantaran ke belakang Khairu Azrin seterusnya menewaskan Sufian Rahman. Terengganu yang ketinggalan cuba bangkit dengan beberapa gerakan memasuki kubu Kelantan United namun kekentalan pertahanan lawan menafikan segalanya.

Peluang terbaik Terengganu hadir pada penghujung separuh masa pertama apabila Sanjar yang menerima hantaran dari Tchetche berjaya melepaskan rembatan namun ditepis cemerlang oleh Shahrizan Ismail.

Di babak kedua,  Terengganu meningkatkan tempo perlawanan bagi memburu gol penyamaan. Hasilnya, Sanjar Shaakhmedov meleraikan kekusutan tersebut dengan satu rembatan cantik dari luar kotak penalti melepasi jangkauan Shahrizan Ismail bagi gol pertama Terengganu.



Belum sempat Kelantan United mengimbangi rentak lawan, sekali lagi Terengganu mengamamkan sorakan penyokong Kelantan dengan gol kedua oleh Kipre Tchetche setelah menerima lorongan dari Sanjar. Gol tersebut merupakan gol sulung buat Tchetche bagi musim 2019 setelah sekian lama kemarau gol.



Pemain Kelantan United Yang dilihat semakin kepenatan terus dihukum oleh Terengganu menerusi gol ketiga mereka pada minit ke-74 apabila gelecekan Lee Tuck melepasi beberapa pemain sebelum melepaskan satu rembatan kencang menuju ke penjuru gawang tanpa dapat disentuh oleh Shahrizan.


Ulasan