JARINGAN TERNALTI SELAMATKAN TERENGGANU DARI DIAIBKAN


Perlawanan ke-5 Liga Super ini bagaikan ulangan aksi Final Piala Malaysia 2018 apabila mempertemukan dua finalis antara Terengganu FC dengan Perak TBG di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah. 

Bermula babak pertama, tempo agak perlahan dari kedua-dua pasukan bermain dengan bola banyak berlegar di kawasan tengah padang dalam tempoh 15 minit pertama. Percubaan terbaik Perak hadir pada minit ke 16 apabila sepakan percuma jauh Shahrul Saad terus menemui Gilmar sebelum beliau melepaskan rembatan yang dinafikan dengan cemerlang oleh Suffian Rahman di gawang Terengganu. 

Terengganu yang dilihat seakan tercari-cari rentak sebenar terus ditenggelamkan dengan penguasaan bola lawan di kawasan tengah. Ketika perlawanan hampir menuju ke wisel tiupan separuh masa pertama, Kipre Tchetche hampir mengejutkan para penyokong yang hadir apabila rembatan dari luar kotak penalti beliau sedikit tersasar melepasi palang.

Bersambung babak kedua, Terengganu seakan-akan mendapat suntikan semangat dari jurulatih mereka, Irfan Bakti dengan meningkatkan tempo permainan mereka dan hampir memperolehi gol setelah sepakan percuma Lee Tuck terus ke kepala Kamal Azizi namun tandukannya sedikit tersasar. 

Sekali lagi Terengganu mencuba mencari gol pendahuluan namun percubaan Khairul Anwar sekadar singgah ke sisi jaring. Perak yang sesekali melancarkan serangan balas hampir mengejutkan lawan apabila Gilmar memperolehi peluang terbaik dalam kotak penalti namun rembatan terakhir beliau sempat dihadang oleh Nasrullah Hanif.

Ketika Terengganu leka menyerang, serangan balas Perak berjaya memerangkap lawan apabila larian laju Shahrul Saad dari sebelah kanan sebelum melakukan hantaran lintang kepada Wander Luiz tidak dikawal tenang melakukan sentuhan terakhir untuk gol pendahuluan Perak.

Tersentak dengan jaringan tersebut, Terengganu tidak berputus asa memburu gol penyamaan dengan peluang terbaik hadir selepas sepakan percuma Lee Tuck dari luar kotak penalti sedikit tersasar ke atas. Selepas berkali-kali mencuba akhirnya Terengganu dianugerahkan sepakan penalti pada penghujung perlawanan setelah Lee Tuck dikasari dalam kotak penalti. Lee Tuck yang mengambil sepakan tersebut tenang menyempurnakannya menewaskan Hafizul Hakim seterusnya menceriakan 10,300 ribu penyokong yang hadir.

Selepas itu, perlawanan dicemari kontroversi dengan Perak memprotes selepas pengadil perlawanan, Razlan Joffri Ali meniup wisel lebih awal meskipun masa tambahan 4 minit telah diangkat oleh pengadil keempat, Hasrul A.Rahman. Setelah tertangguh hampir 5 minit, Perak kembali ke padang dan kembali meneruskan perlawanan. Namun tiada tambahan gol selepas itu hingga wisel terakhir ditiupkan sekali lagi.

Ulasan