HANG JEBAT TERUS MENANGIS DI KUALA TERENGGANU

Dua gol pada babak pertama dan satu gol pada babak kedua selain tiga pemain membuka rekod jaringan sulung menghiasi pertemuan Terengganu FC menentang Melaka United bagi perlawanan ke 6 Liga Super di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah. 



Pada babak pertama, Terengganu lebih mendominasi penguasaan bola bagi memburu gol awal dengan beberapa serangan mereka untuk menguji Khaiful Fahmi di gawang Melaka namun tersasar. Melaka yang sesekali datang menerusi counter attack melalui pemain sayap mereka, Patrick Reichelt dan Nazrin Nawi mudah dipatahkan oleh barisan pertahanan Terengganu. Setelah beberapa kali mencuba akhirnya Terengganu berjaya jua memecah kebuntuan apabila sepakan percuma Lee Tuck terus menemui kepala Nasrullah Haniff yang tidak terkawal untuk menanduk masuk bagi gol pendahuluan.



Tersentak dengan jaringan tersebut, Melaka cuba bangkit dan hampir untuk menyamakan kedudukan namun Suffian Rahman beraksi cemerlang menafikan dua kali percubaan Anselmo Arruda. Sekali lagi Melaka memperolehi peluang menerusi sepakan percuma tapi rembatan Anselmo Arruda terus ke dakapan Suffian. Terketika Melaka leka menyerang, Terengganu mengejutkan lawan menerusi satu hantaran cantik Lee Tuck kepada Sanjar yang mengelecek dua pertahanan lawan sebelum melepaskan rembatan kencang untuk gol kedua Terengganu. Kedudukan 2-0 kekal sehingga tamat separuh masa pertama.




Bersambung babak kedua, Melaka terus meningkatkan tempo serangan mereka bagi memburu gol dengan dua kali memperolehi peluang menerusi sepakan percuma namun buntu  menemui pintu gol Terengganu. Terengganu yang membalas serangan mencuba menerusi rembatan Sanjar dan Kipre Tchetche tapi sayang mudah ke dakapan Khairul Fahmi.

Melaka terpaksa menukar taktikal apabila mengeluarkan import mereka, Darko Markovic dan memasukkan Shukor Adan bagi menguasai bahagian tengah. Tapi apakah daya, Terengganu terus membunuh perjuangan Melaka menerusi pemain gantian, Syamim Yahya yang memanfaatkan umpanan dari Ashari Samsudin melepasi barisan pertahanan dengan tenang menewaskan Khairul Fahmi bagi gol ketiga pada minit ke 74. Tiada tambahan gol selepas itu sehingga wisel penamat ditiupkan oleh Zulkarnain.


Bagi Terengganu ini adalah kemenangan sulung buat mereka di halaman sendiri yang menceriakan penyokong mereka sendiri manakala rekod kekalahan Melaka terus menjadi dua di gelanggang lawan selepas JDT tempoh hari. 




Ulasan