Selepas 7 perlawanan dilalui penyerang harapan Terengganu FC, Kipre Tchetche dilihat seakan terkial-kial untuk menemui rentak sebenar beliau apabila masih gagal menemui gol sulung bagi musim ini berbanding musim lepas berada Top 5 Penjaring Terbanyak Liga Super selain menjadi tonggak penting Terengganu ke final Piala FA.
Ianya seakan memberi suatu petanda yang kurang baik buat pemain yang digelar "Drogba Tranung" ini. Lilitan kapten juga dilucutkan dari lengan beliau bagi mengurangkan tekanan namun masih lagi belum memberi impak positif kepada kem Terengganu.
Adakah penyakit yang pernah dialami oleh bekas penyerang Terengganu FC, Federico Falcone yang kini beraksi bersama kelab di divisyen utama Portugal, Boavista SC mulai berjangkit kepada Kipre Tchetche?
Apa yang berlaku kepada Federico Falcone pemain penuh reputasi yang datang ke Terengganu pada musim 2017 namun sekadar beraksi suam kuku di sini hingga memaksa Irfan Bakti mencari pengganti lain. Selepas keluar dari Terengganu pada pertengahan musim 2017, Falcone terus dilamar oleh kelab CD Aves yang juga beraksi di divisyen utama Portugal.
Persoalannya adakah kelab luar telah berjaya mengentuk pintu hati Kipre Tchetche? Masih berbaki dua bulan lagi sebelum perpindahan kedua dibuka mampukah Kipre Tchetche melakukan sesuatu buat Terengganu FC selain menambat semula hati Irfan Bakti dan penyokong Terengganu.
Ulasan
Catat Ulasan