TERENGGANU II DAN UKM BERKONGSI MATA
Perlawanan diantara TERENGGANU II menentang UKM di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah bagaikan ulangan final Piala Cabaran tahun lepas. UKM yang hadir ke Kuala Terengganu sebagai pelawat mempunyai misi tersendiri membalas dendam begitu juga tuan rumah, TERENGGANU II yang ingin mempertahankan maruah di hadapan penyokong sendiri.
Sebaik sahaja babak pertama bermula, UKM terlebih dahulu menguji gawang Terengganu II dengan percubaan pemain import mereka, Milad Zanidpour dari luar kotak penalti yang mengegar palang tatkala Sharmiza sudah tertewas. Selang dua minit kemudian, peluang terbaik tuan rumah hadir menerusi hantaran lintang Ramzi terus menemui Akanni Sunday namun gagal disudahkan dengan sempurna yang sekadar tersasar ke kanan.
Selepas itu, permainan dilihat lebih dikuasai oleh UKM dengan serangan bertali arus ke arah gawang Terengganu II dan sekali lagi Milad Zanidpour mencemaskan penyokong tuan rumah apabila rembatan padu dari luar kotak ditepis cemerlang oleh Sharmirza. Kedudukan 0-0 kekal sehingga tamat separuh masa pertama.
Bersambung babak kedua, UKM menggandakan asakan mereka dengan serangan mencari gol pendahuluan dan hampir memecahkan kebuntuan apabila rembatan kencang Irwan Syazmin ditepis oleh Sharmirza.
Terengganu II yang dilihat lebih bertahan sesekali datang dengan serangan balas namun dikecewakan dengan penyudah terakhir selain kegagalan bahagian hadapan mereka untuk menebusi barisan pertahanan UKM. Kedudukan 0-0 kekal sehingga wisel terakhir ditiupkan oleh pengadil, Nasiruddin Tamrin untuk kedua-dua pasukan sekadar berkongsi mata.
Ulasan
Catat Ulasan