KUALA TERENGGANU: Tatkala Terengganu FC berdepan PKNS FC pada aksi pembuka tirai Liga Super Jumaat lalu, arkitek mereka Lee Tuck hanya memendam rasa di bangku penonton.
Ini disebabkan bintang import TFC itu perlu menjalani penggantungan satu perlawanan selepas dilayangkan kad merah pada final Piala Malaysia musim lalu.
Namun menjelang aksi berdepan Pahang di Stadium Darul Makmur Kuantan, Sabtu ini, pemain digelar ‘Rooney Ganu’ itu mengakui sudah tidak sabar memperagakan aksi pertamanya.
“Ya saya dah tak sabar dan bersedia kembali beraksi buat kali pertama pada musim ini selepas agak malang terlepas aksi pertama liga kerana digantung satu perlawanan.
“Kebetulan pula dalam perlawanan pertama saya ini, kami bertemu pasukan yang kuat dan selalunya akan berlaku pertarungan sengit sebagaimana musim lalu.
“Saya pasti stadium akan penuh dengan kedua-dua penyokong, jadi saya gembira dan berharap kami dapat mengutip tiga mata,” kata Tuck, pemain paling popular dalam Anugerah Bolasepak Kebangsaan (ABK) 2018.
Mengulas lanjut, pemain berdarah kacukan Malaysia-England itu enggan mengambil mudah pertemuan itu sebaliknya mengakui bakal berdepan laluan berliku untuk mengaibkan skuad Tok Gajah itu di depan penyokong mereka.
“Saya akui bukan mudah untuk kami mengutip mata kerana Pahang mempunyai Dickson Nwakaeme dan dia begitu berbahaya di posisi serangan apatah lagi bergandingan pula dengan Mohamadou Sumareh.
“Oleh itu kita harus mengekang Matthew Davies daripada membuat hantaran dan fokus bahagian kiri kerana mereka agak laju pada sebelah itu selain mereka gemar menyerang dari tengah,” kata Tuck yang mengharapkan benteng pertahanan perlu lebih berdisiplin. - Harian Metro
Ulasan
Catat Ulasan