JARINGAN TUNGGAL AKANNI BANTU TERENGGANU FC II DAHULUI CARTA

JARINGAN TUNGGAL AKANNI BANTU TERENGGANU FC II DAHULUI CARTA

Terengganu FC II berjaya menundukkan pendatang baru, Selangor United dengan jaringan 1-0 di Kuala Terengganu dalam pertembungan kedua Liga Perdana 2019 seterusnya menerajui carta liga buat sementara waktu.

Pada babak pertama Terengganu FC II dan Selangor United buntu untuk menemui penyudah dengan deretan percubaan bagi kedua-dua pasukan tersasar dan berjaya diselamatkan oleh penjaga gol. Peluang terbaik Terengganu FC II datang pada minit ke 20 apabila rembatan sepakan percuma Dechi Marcel sekadar singgah di palang dan susulan dari Serhii tepat ke dakapan Nuraizat.

Sekali lagi Terengganu FC II hampir menemui gol pada minit ke 29 namun tandukan Akanni Sunday sedikit tersasar yang berpunca dari sepakan penjuru Ridhuan Razali. Selangor United sesekali datang menerusi gerakan serangan balas dilihat memberi ancaman kepada barisan pertahanan Terengganu FC II namun Sharmirza mudah menafikan setiap percubaan lawan.

       Bersambung babak kedua, Terengganu FC II dilihat lebih banyak menguasai perlawanan dengan beberapa percubaan terutama rembatan Akanni pada minit ke 66 sedikit tersasar susulan dari sepakan percuma Dechi Marcel. Gol yang dicari-cari oleh Terengganu FC II akhirnyea muncul jua apabila pengadil perlawanan, Mohd Hasrol menganugerahkan sepakan penalti setelah bola terkena tangan pertahanan Selangor United.

Akanni Sunday yang ditugaskan untuk mengambil sepakan tersebut tenang untuk menyempurnakannya bagi menceriakan 635 penyokong tuan rumah. Tersetak dengan jaringan tersebut, Selangor United menggandakan asakan bagi mencari gol penyamaan namun barisan pertahanan dan penjaga gol Terengganu FC II kebal mempertahankan gol tunggal tersebut sehingga tamat perlawanan.

Ulasan