LARKIN JADI SAKSI JDT DISINGKIRKAN TERENGGANU

LARKIN JADI SAKSI JDT DISINGKIRKAN

   Itulah terjadi dalam pertembungan  separuh akhir kedua Piala Malaysia di antara JDT menentang Terengganu FC di Stadium Tan Sri Haji Hasan Yunos, Larkin. Sebelum perlawanan, Terengganu yang berkunjung sebagai pasukan pelawat sedikit selesa dengan berkelebihan 1 gol pada perlawanan pertama yang lalu.

   Benjamin Mora melakukan sedikit rombakan dalam kesebelasan utama JDT dengan memasukkan Azrif Nasrulhaq, Syafiq Ahmad serta Fernando Marquez dalam formasi 4-3-3 berbanding jurulatih Terengganu, Irfan Bakti yang melakukan hanya satu rombakan iaitu memasukkan Faiz Nasir dan meletakkan Ashari Samsudin dibangku simpanan dalam formasi 4-1-4-1.

     Di permulaan perlawanan, JDT dilihat lebih banyak menyerang dalam memadam kelebihan Terengganu namun Terengganu hampir mengejutkan lawan apabila serangan balas mereka pada minit ke-11 bermula dari Faiz Nasir yang melakukan hantaran ke depan mencari Kipre Tchetche seterusnya Tchetche melakukan 'dummy' untuk Shahrul Aizad namun rembatan beliau berjaya diselamatkan oleh Farizal Marlias. JDT kemudian membalas kembali serangan berkenaan dengan gerakan Gonzalo Cabrera one-two bersama Safawi Rashid namun rembatan terakhir dari Cabrera sedikit tersasar.

   JDT sekali lagi hampir datang dengan gerakan berbahaya apabila hantaran lintang dari Azrif Nasrullah menemui Safawi namun tandukan beliau sedikit tersasar. Selang 9 minit kemudian JDT hampir mencecah kebuntuan apabila berlaku kelam kabut barisan pertahanan Terengganu namun rembatan Cabrera berjaya diselamatkan oleh Adib Aizuddin ketika Sufian sudah pun tertewas. JDT hadir lagi dengan tandukan berbahaya Marquez yang diselamatkan cemerlang oleh Sufian.

   Setelah berusaha dengan pelbagai percubaan akhirnya JDT berjaya jua memperolehi sepakan penalti apabila Safawi Rashid dikasari oleh Adib Aizuddin yang dipertikaikan oleh ramai pihak akan keputusan pengadil. Tugas itu berjaya disempurnakan oleh Marquez untuk meletakkan JDT dihadapan selain menghapuskan argegat lawan. Kedudukan 1-0 kekal bagi menamatkan separuh masa pertama.

     Bersambung babak kedua, JDT semakin garang menyerang Terengganu apabila gerakan Syafiq Ahmad dari tepi sebelum masuk ke dalam kotak penalti melepaskan rembatan kencang yang ditepis cemerlang oleh Sufian di gawang. JDT kembali selesa dengan gol kedua pada minit ke-2 apabila Cabrera memanfaatkan gerakan susulan dimana berpunca tandukan terdahulu dari Marquez hanya singgah di palang.

    Terengganu tidak berputus asa walaupun ketinggalan 2 gol apabila ketua pasukan mereka, Kipre Tchetche berjaya memanfaatkan hantaran lintang dari Lee Tuck pada minit ke-68 untuk memberi kelebihan kembali kepada Terengganu. Tersentak dengan jaringan berkenaan, JDT kembali menggandakan serangan mereka dengan sepakan sudut dari Cabrera menemui Hazwan namun rembatan beliau tersasar ke atas.

    Disaat JDT asyik dengan serangan mereka memburu gol kelebihan, Terengganu menghukum kembali dengan serangan balas pantas dari Ashari Samsudin yang berjaya mencuri bola dari kaki pemain JDT sebelum menghantarnya untuk Kipre Tchetche bagi membunuh semangat pemain JDT dalam masa tambahan. Kedudukan 2-2 kekal hingga tiupan wisel penamat yang menyaksikan Terengganu mara ke pentas final setelah kali terakhir pada 2011 dibawah kendalian jurulatih yang sama.

     Di pentas final nanti, Terengganu bakal berhadapan Perak yang juga merupakan pertembungan buat kali ketiga bagi kedua-dua pasukan dimana pertembungan terdahulu memihak Perak pada 1998 dan Terengganu pada 2001.

Ulasan