FAIZ, MALIK PENCETUS KEBANGKITAN TERENGGANU


       Itulah terjadi pada perlawanan Separuh Akhir Kedua Piala Malaysia di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah. Terengganu yang berkelebihan satu gol dan gol tempat lawan sebelum perlawanan ternyata bukan jaminan apabila Felda United berjaya menghapuskan kelebihan itu dengan gol pada minit ke-12 oleh Thiago Junior hasil dari sepakan sudut Danial Amier. Felda United terus menekan barisan anak buah Irfan Bakti dengan serangan bertali arus ke pintu gol Terengganu. Tatkala Felda United melakukan serangan Terengganu hampir menemui jaringan penyamaan apabila gerakan menarik antara Kipre Tchetche dan Ashari Samsudin berjaya memperdayakan pertahanan lawan sebelum melakukan lorongan kepada J.Parthiban namun rembatannya sedikit tersasar. Kedudukan 1-0 kekal pada separuh masa pertama.
    
    Bersambung pada babak kedua, Terengganu sekali lagi dikejutkan oleh gol kedua Felda United pada minit ke-48 hasil gerakan pemain lincah mereka, Danial Amier yang berjaya melepasi beberapa pemain pertahanan lawan sebelum melakukan hantaran lintang kepada Syamim Yahya untuk melakukan satu rembatan terus ke gawang lawan yang kosong. Tersentak dengan gol tersebut, Irfan Bakti terpaksa menekan butang panik dengan mengeluarkan Ashari Samsudin dan Shahrul Aizad diganti oleh Faiz Nasir dan Malik Ariff bagi menghidupkan jentera tengah Terengganu yang dilihat begitu tenggelam dengan penguasaan bola lawan.


       Pergantian pemain itu berhasil apabila Lee Tuck berjaya melepaskan satu rembatan kencang dari luar kotak penalti pada minit ke-57 terus menerjah gawang menewaskan Farizal Harun yang hanya mampu melihat kaku gol tersebut. Selepas gol tersebut Terengganu dilihat begitu semangat mencari gol penyamaan dan usaha itu berhasil apabila Adib Aizuddin berjaya melakukan satu jaringan cantik pada minit ke-59 mengelirukan penjaga gol lawan yang menganggap itu hantaran jauh tapi bola tersebut melintang terus ke dalam gawang.

       Felda United nyata tidak mudah melatah dengan dua gol pantas Terengganu apabila kembali dihadapan pada minit ke-78 apabila tandukan dari Thiago Junior berjaya disambut oleh satu tendangan gunting Gilberto Furtonato. Namun kelebihan itu tidak bertahan lama apabila Terengganu kembali menyamakan kedudukan 3-3 pada minit ke-82 apabila hantaran lintang dari J.Parthiban disambut cantik oleh Abdul Malik Ariff. Derita Felda United tidak berhenti di situ sahaja apabila ketua pasukan Terengganu, Kipre Tchetche terus membunuh semangat lawan apabila menjaringkan gol pada minit ke-86 dari lorongan Faiz Nasir hasil tercetus serangan balas pantas Terengganu.


     Tiada apa yang boleh diperkatakan tentang perlawanan ini hanyalah drama yang penuh menakjubkan akan kebangkitan Terengganu ke peringkat seterusnya. Antara aksi perlawanan semalam.






Ulasan